SEKELUMIT KISAH SAYA SEMASA KECIL
Assalamulaikum semua...selamat berjumpa lagi. Ini adalah tulisan saya yang kedua dalam blog ini. Hari ini saya membawakan sedikit cerita tantang diri saya semasa kecil. Sebelum itu saya ingin memaklumkan bahawa nama saya sebenar sebelum memeluk Islam ialah Nurita Uging. Selepas saya memeluk Islam saya memilih nama Siti Mardziah Abdullah. Menurut ustaz yang mengislamkan saya nama ini sangat bermakna iaitu "yang diredai".Semoga saya dapat merelisasikan nama saya ini menjadi betul-betul diredai Allah dan sahabat-sahabat yang mengenali saya.
Hari ini saya ingin mengimbau kembali sejarah hidup saya semasa kecil. Saya dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan memandangkan ibu dan bapa hanyalah bekerja sebagi petani. Pendapatan dalam bentuk wang ringgit memang susah. Walau bagaimanapun ibu dan bapa saya membesarkan kami dengan penuh kasih sayang. Adik-beradik saya seramai tujuh orang, empat lelaki dan 3 perempuan. Walaupun saya mempunyai kakak, saya tidak dapat merasakan kasih sayang kakak daripada kecil kerana kakak dipelihara oleh datu dan nenek sebelah ibu. Abang saya yang sulung telah melanjutkan pelajaran ke Semenanjung (disebut Malaya ) pada ketika itu manakala abang saya yang dua orang pula hanya belajar di sini.Saya ada dua orang adik, Adik lelaki dan adik perempuan. Saya anak yang kelima.Adik saya yang lelaki telahpun arwah sekarang. Manakala abang saya yang keempat baru juga meninggal pada 18 haribulan Jun tahun ini.
Menurut cerita ibu saya, semasa dia melahirkan saya dia telah tercucuk bisa ikan sembilang dan a dibantu oleh seorang pakcik jiran menggunakan cicncin yang dianggap ubat. Begitu besar pengorbanan ibu saya ketika melahirkan saya.Semoga ibuku tenang di sana. Saya dilahirkan di rumah bukan di hospital.Pengorbanan ibu saya sangat besar sakit kerana tercucuk sengat ikan Sembilang dan sakit semasa melahirkan saya dengan memanggil bidan klinik kesihatan. Nama Nurita itu diberikan oleh bidan yang membantu ibu saya semasa melahirkan saya. Bidan itu sudah pun meninggal. Menurut ibu saya semasa saya cukup bulan ibu dan bapa telah menyembelih kambing kerana begitu gembira dengan kehadiran saya ke dunia. Apabila saya mendengar cerita ibu saya, saya rasa begitu bertuah sekali.
Saya dibesarkan dengan penuh kasih sayang walaupun dari segi kewangan ibu bapa serba kekurangan. Semasa saya berumur tujuh tahun saya telah melangkah ke alam persekolahan. Ibu bapa sangat mementingkan pendidikan, terutama ibu saya. Dia selalu berpesan kepada anak-anaknya hanya pendidikan yang dapat diberikan untuk mengubah ekonomi keluarga. Semasa kecil sebelum saya bersekolah dua orang abang saya selalu dimarahi ibu kerana selalu melepak dengan kawan-kawan.Saya hanya mendengar bebelan ibu dan berazam jika saya sudah bersekolah, saya akan belajar bersungguh-sungguh.
Pada bulan Januari tahun 1972 saya telah menjejakkan kaki ke sebuah sekolah kampung. Saya bersekolah di SRK Selupoh, Tuaran. Pada masa itu saya telah berumur tujuh tahun. Pada ketika itu belum ada Tadika. Setiap hari saya berjalan kaki ke sekolah yang jauhnya 3 km. Saya merasa sangat seronok kerana impian saya untuk ke sekolah telah tercapai. Setiap hari saya bersama-sama kawan yang sebaya beramai-ramai berjalan kaki ke sekolah.Walaupun penat kami semua merasa gembira. Saya ada seorang sepupu perempuan yang sangat rapat dengan saya. Bapa kami adik-beradik. Sepupu saya ini sangat petah bercakap dan kami sangat rapat. Saya berusia sembilan tahun dia baru enam tahun. Malangnya sepupu saya itu telah pergi menghadap penciptanya terlalu awal. Kalau diimbau kembali saya akan merasa begitu sedih. Sepupu saya ini menghidap jantung berlubang tetapi tidak dapat dikesan lebih awal. Terkenang semasa dia meninggal saya datang menziarahi tapi tidak sanggup melihat wajahnya buat kali terakhir. Saya hanya menunggu di bawah rumah. Inilah pertama kali saya merasa sungguh kehilangan sepupu dan sahabat yang sangat akrab.Sepupu saya ini meninggal pada tahun 1974, sepatutnya pada tahun 1975 dia bersekolah darjah satu.Umur saya pada ketika itu sembilan tahun.Inilah kesedihan yang paling saya kenang hingga ke hari ini.
Sampai di sini dulu celoteh saya untuk hari ini.
Kenangan zaman kanak-kanak sesuatu yg abadi. Meskipun kekurangan material, tetapi kita kaya dgn pengajaran, menjadikan kita begitu menghargai sebuah kehidupan. Keep it up sahabat, teruskan catatanmu.....
ReplyDelete