HIDAYAH TELAH ADA SEMASA KECIL DI SEKOLAH RENDAH
Assalamualaikum dan selamat berjumpa lagi kepada semua peminat blog
Hari ini saya ingin bercerita sedikit tentang pengalaman saya semasa di sekolah rendah iaitu di SRK Selupoh, Tuaran, Sabah. Saya mula menjejakkan kaki ke sekolah rendah pada bulan Januari 1972. Dulu saya telah menceritakan kepada sahabat-sahabat semua bahawa saya tiada menduduki sekolah tadika sebab pada ketika itu belum ada tadika dibuka di kampung-kampung. Maka persekolahan saya bermula terus ke darjah satu. Saya berumur tujuh tahun pada masa itu. Saya memang tidak sabar-sabar lagi mahu bersekolah kerana mahu belajar menulis, membaca dan mengira. Saya merasa begitu bertuah sekali kerana guru-guru yang mengajar saya di sekolah sangat berdedikasi dan tegas dalam menyampaikan ilmu. Semoga guru-guru yang mengajar saya sentiasa sihat hingga ke saat ini walaupun sudah ramai yang telah pergi ke negeri abadi. Semoga roh mereka tenang di sana.
Pada ketika itu pihak sekolah membenarkan orang yang bukan Islam mempelajari agama Islam. Saya pada ketika itu adalah beragama pagan (animisme) kerana keluarga memang pagan. Saya sangat berminat dengan pelajaran agama ini kerana ustazah yang mengajar begitu baik sekali. Kami diajar menulis tulisan jawi, membaca jawi dan di ajar juga akidah dan sejarah Islam. Saya begitu tertarik sekali dengan pengajaran ustazah Fatimah dan ustaz Ayub. Saya pun tidak pasti mereka masih ada atau sudah pulang kepada penciptanya. Kami di ajar rukun Islam dan rukun Iman, nama-nama malaikat dan nama-nama nabi.
Saya belajar pendidikan Islam ini dari darjah satu hingga darjah enam. Saya beggitu pandai menulis jawi dan membaca jawi dengan lancar. Pada suatu hari saya pernah meminta dengan ustaz Ayub untuk meminjam buku agama untuk dibawa pulang kerana begitu tertarik dengan cerita-cerita dalam buku tersebut. Ada suatu ketika tu saya meminta ustaz beri saya peluang untuk membaca jawi kerana saya begitu teruja membaca jawi dengan lancar seperti membaca rumi.
Apabila saya balik ke rumah saya selalu tertanya-tanya bagimanakah rupa Allah tu dan semasa kelas agama saya bertanya dengan ustaz bagaimana rupa Allah. Ustaz menjawab kita hanya boleh mengenal Allah dengan melihat kejadian alam.Saya akur saja dengan penerangan ustaz tu walaupun dalam hati masih lagi tertanya-tanya.
Ketika ujian pendidikan agama Islam, saya telah berjaya mendapat 100 markah dan hanya saya sahaja yang dapat markah penuh. Lantas ustaz berkata dalam kelas..."bagus lagi yang bukan Islam dapat markah penuh". Terasa berbunga-bunga dalam hati kena puji oleh ustaz. Saya memanag terasa amat dekat dengan ajaran Islam ini kerana 6 tahun belajar di sekolah rendah.Saya menyimpan niat agar suatu hari nanti saya dapat memeluk Islam tapi tidak tahu macam mana sebab tiada pun ruang untuk bergaul dengan orang Islam di kampung yang rata-ratanya bukan beragama Islam.Saya hanya dapat bergaul dengan kawan-kawan Islam di sekolah sahaja.
Saya mendoakan agar ustazah Fatimah dan ustaz Ayub mendapat pahala kerana anak muridnya ini akhirnya telah memeluk Islam setelah berada di tingkatan empat. Terima kasih ya Allah kerana telah memberikan aku ruang mempelajari agama Islam seawal usia tujuh tahun. Apabila saya telah memeluk Islam saya tidaklah merasa sangat yang saya ni mualaf sebab telah ada asas-asas agama sejak sekolah rendah. Cuma saya tiada belajar muqadam sahaja.
Comments
Post a Comment